Friday, September 16, 2011

HIM

Saya yakin, mesti ramai para isteri yang mendambakan suami yang romantik. Mungkin seperti suami Nora Elena?

Bila muncung, dapat bunga.
Bila makan, pantas disuap.
Bila ada keraian, pantas dirai.

Dan segalanya indah ibarat "fairy tales" movie.

Pernah juga saya mengimpikan suami yang begitu. Yang sangat romantik dan jiwang jiwanya. Yang hati penuh bunga-bunga. Yang sentiasa mengeluarkan kata-kata manis memuji muja setiap keindahan dan kelebihan yang kita ada.

Tapi perancangan Allah itu melebihi dari segala pengharapan yang kita ada. Dia mengurniakan saya seorang suami yang jauh dari apa yang selalu saya impikan atau dengan kata mudahnya tidak romantik.

Kami berkawan tanpa menyulam sebarang kata cinta dan sayang. Walaubagaimanapun, suami adalah tempat saya bergantung dan melepas rasa di saat hati ini kecewa dan ketika itu saya betul-betul jatuh tersungkur. Dia sentiasa ada di situ, memberikan kekuatan yang dalam diam membuatkan saya rasa, saya masih ada dia. Seorang kawan yang melegakan segala kekusutan.

Itu antara kebaikkan suami. Sangat penyayang dan marah apabila wanita dianiaya.

Dalam tempoh sembilan bulan perkahwinan kami, saya dan suami masih belajar mengenali hati budi masing-masing. Menerima setiap kelemahan dan kekurangan. Menjadikan kelebihan dan kekuatan sebagai sandaran hidup. Memahami setiap gerak laku dan isyarat badan yang cuba disampaikan yang sentiasa menjadikan saya insan yang lemah jiwa ini menangis bila tidak berjaya memahami isi hati suami ketika itu.

Ya, saya pernah menangis kerana tidak berjaya memahami hati suami dan berprasangka yang bukan-bukan.

Dan tipulah saya jika saya kata saya tidak pernah cemburu. Cemburu saya terlalu kuat. Pantas berfikir yang bukan-bukan bila mendengar perbualan mesra suami dengan kawan perempuannya yang saya kenal. Yang juga sudah berkahwin. Kerana apa? Kerana pada saya, masa singkat yang dia ada bersama saya, hanya untuk saya. Tidak sepatutnya dikongsi bersama orang lain.

Saya lupa, setiap yang Allah kurniakan untuk kita itu sebenarnya hak milik Allah. Pinjaman dari Allah dan saya tidak sepatutnya berperasaan begitu. Selagi kita yakin dengan Allah, InsyaAllah kita sentiasa terpelihara, rumahtangga kita sentiasa dijaga.

Walaubagaimanapun, saya bersyukur kerana mengurniakan suami yang sentiasa membimbing saya ke jalan yang diredhai olehNya. Selalu saya dengar isteri yang mengejut suami untuk solat Subuh. Tapi saya? Malu nak mengaku, acapkali suami yang kejutkan saya.

Suami juga yang sentiasa mengingatkan saya tentang sunat Dhuha dan Hajat supaya murah rezeki dan tercapai impian. Seringkali mengingatkan saya bahawa hanya Allah sahaja tempat kita bergantung dengan penuhi masa lapang dengan zikir-zikir kepadaNya.

Bila marah meledak jiwa, suami juga yang sentiasa menenangkan. Mengingatkan saya untuk sabar. Bila saya mula merungut tentang beban kerja yang tidak pernah berhenti, suami juga yang nasihatkan saya untuk buat segalanya ikhlas kerana Allah.

Walaupun kami berjauhan, terpisah oleh alat perhubungan, kerana Allah, hati kami lebih dekat dan semakin menyayangi antara satu sama lain.

Itulah kuasanya bila kita yakin dan berserah segalanya kepada Allah.

Saya tidak perlukan suami yang romantik, tidak perlu suami yang beri bunga, suami yang hujani isteri dengan wang ringgit, suami ibarat prince charming.

Saya dah cukup bersyukur kerana mengurniakan suami yang menyelitkan nama penuh saya pada setiap doanya. Sentiasa mendoakan untuk kesejahteraan dan keselamatan saya di dunia dan di akhirat. Mendoakan kebahagiaan rumahtangga kami.

Alhamdulillah.


2 comments:

Anonymous said...

"Saya dah cukup bersyukur kerana mengurniakan suami yang menyelitkan nama penuh saya pada setiap doanya. Sentiasa mendoakan untuk kesejahteraan dan keselamatan saya di dunia dan di akhirat. Mendoakan kebahagiaan rumahtangga kami." - Teh, INI ROMANTIK... <3

sal

cacah said...

bestnya.. :)